Kawan-kawan kakcik

Khamis, 22 Februari 2018

Sakitnya bila ditipu...

...bila namanya TIPU, pastilah ia bukan sesuatu yang baik untuk dihadam.

Tak tahu apa yang ada di hati dan fikiran sipenipu.  Menipu untuk apa?  Untuk kepuasan diri atau untuk melarikan diri dari sesuatu masalah?

Sejauh mana kau boleh lari?.  Tenangkah tidurmu bersulam mimpi?

Sekali kau menipu, kau akan terus menipu lagi dan lagi.

Bila anak menipu ibu, tahukah betapa koyaknya hati siibu?  Mungkin ibu berpura-pura tidak tahu.  Walhal dia sebenarnya lebih dari tahu.  Anugerah Ilahi buat seorang ibu, dia ada naluri yang kuat.  Apa yang dia rasa, selalunya memberikan gambaran tepat.  Di sebalik itu, hati seorang ibu kadangkala terlalu lembut.  Merelakan diri ditipu berkali-kali oleh zuriat sendiri atas alasan yang sukar dimengerti...

Seorang isteri, akan tahu juga helah suami bila dikhianati.  Sekali lagi, entah atas alasan apa, dibiarkan suami melakar cerita basi berulangkali.  Nasihat orang ditolak tepi.  Sampai nyawa terancam pun tidak dipeduli.


Seorang kawan, tetap akhirnya akan tahu bila diri ditipu.  Tapi demi persahabatan, penipuan dibiar-biarkan dengan harapan penipu akan sedar dan insaf.  Akhirnya terputus tali persahabatan bila keadaan tidak dapat diselamatkan.


Biar apa pun, kesimpulannya hanya satu :  PENIPUAN ITU SANGAT-SANGAT MENYAKITKAN.  Berilah apa pun alasan, lukanya tetap meninggalkan parut dan kesan.

Rabu, 21 Februari 2018

Makan dulu Dik...

...jangan leka telefon itu dibelek-belek
takut nanti bila tercekik
telefon itu pun tak boleh nak tolong Adik!

Rujuk gambar :  

Di sebalik kelekaannya membelek telefon itu, dia tidak kisah pun makan hanya nasi goreng tanpa lauk dan minum teh O suam semata-mata.  Syukurlah dia mengerti dan menghargai sekadar apa yang ada.  Ibubapanya bukan orang berada yang mampu untuk menyediakan kehendaknya sepanjang masa.

Di sekeliling kita, berbanding kita yang HANYA MAMPU menjamah nasi goreng tanpa lauk, sebenarnya ramai juga yang TIDAK MAMPU mendapatkan minuman berperisa walau seteguk.  Jangan pula bandingkan diri kita dengan mereka yang terlebih-lebih rezekinya.  Mampu makan di restoran atau hotel mewah saban ketika.  Itu rezeki mereka yang sebenarnya merupakan UJIAN juga.  Pedulikah mereka dengan jiran setaman yang sedang kelaparan? 

Dalam kehidupan ini, SUSAH itu ujian, SENANG juga ujian... Sebagai insan, sudah diberi BERLEBIHAN pun sering kita mengeluh tentang KETIDAKCUKUPAN...

Sabtu, 17 Februari 2018

Kita rasa kita hebat...


...lalu kita mahu semua orang memberi hormat
satu yang kita selalu cuba buat-buat tak ingat
ke kubur nanti kita tak boleh sendirian terlompat-lompat
tidak akan tertolong oleh pingat dan pangkat!

...pakaian terakhir yang sering kita lupakan...