Kawan-kawan kakcik

Khamis, 29 Oktober 2015

Kita ini semakin tua...

...sudah-sudahlah berlagak muda
hentikanlah perbuatan yang sia-sia
ianya tidak membawa kita ke mana-mana
malah hanya menambahkan timbunan dosa

yang baik elok diteruskan 
yang 'buruk' sorok-sorokkan
jangan seronok tolong menghebahkan
bimbang dosa Allah tak ampunkan

aib orang jangan sebarkan
bayangkan jika keluarga kita begitu diperlakukan
apakah kita tak punya perasaan
lalu segala yang aib itu kita ketawa-ketawakan

teguran orang kita persetankan
konon seronok berhibur dengan kawan-kawan
mana tahu tiba-tiba datang takdir Tuhan
kita dijemput kembali saat bergelak sakan

jangan cerita tentang banyaknya amalan
jangan sebut tentang segala kebaikan yang dilakukan
andai maksiat walau sekadar pada penglihatan
kita buat bagai makanan harian


#takfahamtakapa
#ingatanuntukdirisendiri

Selasa, 27 Oktober 2015

Dalam pantun tersirat makna...

Mendaki tubir di Pantai Remis
bawa beban tersangkut di bahu
walau bibir tersenyum  manis
luka di hati siapa yang tahu

bawa beban tersangkut di bahu
rela berkorban demi saudara
luka di hati siapa yang tahu
pendam sendiri duka dan lara

rela berkorban demi saudara
saudara kandung mahupun tiri
pendam sendiri duka dan lara
menjadi racun memakan diri

saudara kandung mahupun tiri
tidak berbeza kasih dan sayang
menjadi racun memakan diri
asal tidak menyusahkan orang

Isnin, 26 Oktober 2015

Akaun nuffnangku...

Walaupun hanya sedikit, setidak-tidaknya masih ada.
Penebusan terakhir yang aku buat pada 8/9/2015,
masih belum diterima sehingga kini.
Tak mengapa, nanti tibalah ia...

Bertemu bekas rakan sekerja di Majlis Perkahwinan...

...berbelas (atau berpuluh?) tahun tidak bersua, kami masing-masing sudah kian meningkat usia.  Ada yang sudah bersara, tidak kurang yang sudah bermenantu dan bercucu.  Akhirnya ke sana ke sini hanya berdua (suami isteri)...

Bersama ibu pengantin.
Belum 50 tahun usianya, dah ada menantu.
Tahniah...


Ehem... korang mengintai blog ni, kan?

Dasar makcik blogger, kawan-kawannya diheret sama!

Banyak lagi gambar, tapi cukuplah yang di atas itu.

Saat bibir tak mampu mengukir senyum, tika hati menjerit sendiri... hanya pergantunganku kepada Ilahi...

Mak...mimpi itu menggangguku.  Semoga roh mak sedang tenang dan gembira di sisi Maha Pencipta...

Ahad, 25 Oktober 2015

Nasib kita mungkin lebih baik dari mereka...

Dalam panas dan jerebu
mengetuk dari pintu ke pintu
semoga ada yang tidak berhati batu
dapatlah mengumpul wang untuk hari itu

Mungkin hasil dari kutipan
hidup mereka lebih mewah dari yang disangkakan
cuma satu jadi pegangan
rezeki itu tetap datangnya dari Tuhan

Biar jerebu datang melanda
kehidupan seharian perlu diteruskan juga
bukannya mewah memiliki kereta
minyak, tol dan kos senggara kena disedia

Bersusun-susun kenderaan datang
mustahil rasanya syarikat konsesi akan kecundang
apa hendak dibangga dengan kenderaan hutang
hidup kais pagi makannya petang

Selasa, 20 Oktober 2015

Hendak buat visa untuk ke India?...

...kalau tak tahu apa-apa, mudah-mudahan gambar-gambar di bawah dapat membantu...

(atau boleh juga rujuk catatan ini )


Untuk menjimatkan wang sebanyak RM21.20, permohonan visa boleh sahaja diisi atas talian
di pautan ini : https://indianvisaonline.gov.in/visa/ (panduan mengisi borang di : http://www.indiavisa.com.my/mly/application/visa_application_form.php )
kemudian cetak borang tersebut dan dibawa ke India Visa Centre pilihan anda.

Waktu permohonan visa

Biasanya visa akan siap dalam tempoh 3 hari bekerja.

Dokumen-dokumen yang diperlukan

Sehingga 30/9/2015, bayaran untuk visa pelancong hanya RM161.56,
tetapi mulai 1/10/2015 bayarannya naik sehingga 19%.

Bayaran RM21.20 (termasuk GST) untuk 4 keping gambar.

Jika bawa gambar sendiri, pastikan saiz gambar itu adalah betul.

Sengaja selitkan gambar Dataran Merdeka yang diselubungi jerebu...

Tidak kelihatan langit membiru, awan memutih mahupun terik matahari...

Isnin, 19 Oktober 2015

Berapa peratus dari pembayar tol adalah penerima BR1M?...

...habaq mai sat...

SHAH ALAM: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mempertahankan kenaikan kadar tol berkuatkuasa 15 Oktober lalu sebagai satu keperluan.


Tegas Najib, kerajaan tiada pilihan selain menaikkan kadar tol, kerana jika langkah itu tidak dilaksana, kerajaan mungkin terpaksa mengurangkan kadar pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M). 


"Kita terpaksa meningkatkan kos. Kita tiada pilihan. Jikalau tidak naik, pampasan perlu dibayar. Perjanjian tol ditandatangani 20 tahun lalu di mana jika tiada kenaikan kadar tol, kita perlu membayar pampasan. Jadi apabila kita membayar pampasan, peruntukan untuk perkara lain juga berkurangan. Kurang duit untuk BR1M.


"Gerakan mahu saya meningkatkan kadar BR1M. Namun anda perlu pilih, yang mana satu anda mahu kerana kita ada peruntukan yang terhad," tambah Najib dalam ucapan ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Nasional ke-44 Parti Gerakan Malaysia di Pusat Konvensyen Setia City, hari ini.


Beliau berkata demikian sebagai reaksi terhadap gesaan Gerakan agar kerajaan menaikkan jumlah bantuan BR1M dalam Bajet 2016.


Mengulas lanjut, Najib juga berkata peningkatan kos sara hidup yang turut berlaku di Pulau Pinang dan Selangor menunjukkan peningkatan kos adalah satu perkara yang tidak boleh dielakkan lagi.


"Saya tanya Tan Sri Koh Tsu Koon (bekas  Ketua Menteri Pulau Pinang) apa dah naik di Pulau Pinang? Dia kata tarif air sudah naik, kos pembangunan naik, harga tempat parkir pun sudah naik. Jadi, di Pulau Pinang dan Selangor, kos pun naik juga," kata Najib.


Terdahulu, Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong berkata parti itu masih menyifatkan BR1M adalah satu pemberian yang tepat bagi meringankan beban rakyat.


"BR1M ialah seperti skim-skim yang turut dilaksanakan di negara maju seperti Singapura dan Hong Kong. Malah Gerakan menggesa supaya BR1M dinaikkan, di samping langkah-langkah yang lebih berkesan dilaksanakan dengan tujuan mengawal dan mengurangkan kenaikan kos sara hidup," kata Siew Keong dalam ucapan aluannya dalam persidangan yang sama.


Beliau turut mencadangkan semua isi rumah yang berpendapatan kurang RM5,000 sebulan diberikan potongan cukai bagi bayaran Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sama seperti potongan cukai untuk insurans, KWSP, dan lain-lain perbelanjaan.

"Ini akan memberi sedikit kelegaan kepada keluarga berpendapatan sederhana, sementara BR1M menyediakan bantuan dalam bentuk wang tunai yang lebih diperlukan untuk golongan berpendapatan rendah," tambah Mah.

Sumber : ASTRO AWANI

Jerebu oh jerebu...

Kuala Lumpur - sihutan batu yang sudah jadi hutan kelabu
(gambar-gambar dirakam di beberapa tempat pada hari Ahad 18/10/2015)
Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada pagi Isnin 19/10/2015

Sabtu, 17 Oktober 2015

Dapatkan tiket Kelas Perniagaan (Business Class) yang lebih murah di Malindo Air...

Ini bukan catatan berbayar atau yang sewaktu dengannya. 

Ini adalah catatan tentang rasa tak puas hati, sakit hati dan yang sewaktu dengannya atas ketidakprihatinan diri sendiri.

Selalunya, bila kita (lebih tepatnya, akulah itu) hendak buat tempahan tiket penerbangan secara atas talian, memang aku akan tengok bahagian KELAS EKONOMI sahaja.  Memang sekali-kali tak akan tengok harga di bahagian KELAS PERNIAGAAN sebab aku pasti harganya mahal.

Sebaliknya yang terjadi beberapa hari lepas bila aku hendak membuat tempahan tiket penerbangan Malindo Air.  Disebabkan tiket yang tinggal tidak banyak lagi, maka mataku 'mencari-cari' tiket mana yang hendak dibeli.  Apa yang aku dapati?  Rupa-rupanya tiket Kelas Perniagaan lebih murah dari tiket kelas ekonomi!  

Tak mengapalah, aku sudah dapat pelajaran baru.  Lepas ini kena tengok semua harga tiket yang ditawarkan.

Begitu juga dengan tiket Penerbangan Malaysia.  Kena selalu rajin semak.  Kalau hari ini harga yang ditawarkan RM1,500.00, esok harganya mungkin akan jadi RM750.00 tapi untuk waktu yang singkat...


Sebelum ini harga tiket kelas perniagaan itu hanya RM1,153.00 sahaja.

Jumaat, 16 Oktober 2015

Allah SWT mentakdirkan kami tak sempat bertemu...

Pagi 12/10 aku menyebut namanya di facebook.
Tapi sehingga ke tengahari dia tidak memberi
apa-apa jawapan.  Tidak seperti kebiasaannya,
dia akan segera membalas dengan ramah.

Beberapa jam kemudian, aku mendapat khabar dari Azian Elias di kumpulan
Whatsapp bahawa Fahad sudah tiada lagi.  Punca kematiannya dikatakan
bermula dari demam dan ubat yang diambil tidak serasi.   Masih muda
orangnya. Baru berusia lebihkurang 31 tahun.  Meninggalkan seorang
balu dan seorang anak lelaki yang masih kecil.  Rata-rata mereka
yang mengenalinya sangat menyenanginya.  Seorang lelaki yang baik
dan hamba Allah yang sangat mencintai Allah dan Rasul.  Kerana itulah
Allah SWT mengambilnya pulang segera.  Bagaimana pula dengan diriku?
Allah masih beri peluang untuk aku berubah menjadi lebih baik
sebelum dijemput kembali, tapi aku masih tetap berleka-leka juga...

Secantik mana pun awan di dada langit, munculnya hanya seketika.
Tapi adakah kita mengambil iktibar tentang datang dan hilangnya?
(Gambar kiriman adikku Abil Fikri Ahmad)

Dari Allah kita datang, kepadaNya kita kembali.
Tenanglah rohmu Fahad Ali di sisi Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
Setiap yang terjadi pasti ada hikmah yang tersembunyi.
Dengan izin Ilahi, kami akan teruskan kembara kami
dan kami tahu itu juga yang kamu ingini...

Rabu, 14 Oktober 2015

Muhammad Firdaus Dullah telah kembali kepada Maha Pencipta...

Innalillahhiwainnailaihirojiun.   

Syurgalah tempatmu wahai anak istimewa.



Berita dan gambar dari Astro Awani...

KUALA LUMPUR: Remaja Orang Kurang Upaya (OKU), Muhammad Firdaus Dullah, 16, yang ditemui dalam keadaan kurus kering dan tidak terurus tahun lalu, disahkan telah meninggal dunia.

Memetik laporan Berita Harian, Firdaus meninggal dunia selepas diserang sawan tengah hari tadi.

Firdaus dilaporkan pengsan sebelum disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.

Penemuan Firdaus pada Jun tahun lalu menggemparkan negara kerana ditemui dalam keadaan menyayat hati di kediaman keluarganya di Taman Semarak, Nilai. Dia ditemui oleh pasukan Imigresen yang menjalankan pemeriksaan di kawasan perumahan tersebut.
Firdaus kemudiannya ditempatkan di Taman Sinar Harapan Tengku Ampuan Najihah Seremban, manakala ibunya, Lolanopita Sadi, 41, dihukum penjara empat bulan dan denda RM10,000 kerana kesalahan mengabaikan anaknya.


Selasa, 13 Oktober 2015

Kadar tol naik lagi...

Rujuk di : ASTRO AWANI


KUALA LUMPUR : Beberapa lebuhraya utama di seluruh negara akan menaikkan kadar tol masing-masing bermula 15 Oktober ini. Ia menyaksikan kenaikan harga lebih 17 hingga 80% di antara 20 sen hingga RM1. Tidak seperti tahun-tahun sebelumnya, pengumuman kenaikan tol dilakukan oleh konsesi tertentu menerusi kenyataan berasingan, dan bukannya kerajaan.

Kenaikan antara 17 hingga 80 peratus itu pastinya tidak akan membebankan rakyat.  Kerajaan telah membuat kajian dengan sedalam-dalamnya sebelum membuat keputusan.  Jadi, jangan mengeluh. Pasrah dan redho sahajalah...

Kalaulah lukisan pertama Qaid ini laku dijual,
mungkin nenek jual dan simpan duitnya
untuk kegunaan masa depan Qaid.

Betul, kan?
Semuanya perlukan duit.  Dah mati pun, kena ada duit
untuk orang yang tinggal menguruskan jenazah kita...

Isnin, 12 Oktober 2015

MH370 - misteri yang hanya Allah SWT juga Yang Maha Mengetahui...

sekejap jumpa di sana
sekejap jumpa di sini
wang habis bukan sedikit
namun kecoh hanya bagai ribut di dalam cawan

Ya Allah Ya Tuhan
Yang Maha Mengetahui lagi Maha Pengasih
rungkaikanlah misteri
agar manusia tidak mengambil kesempatan
atas apa yang terjadi


Jumaat, 9 Oktober 2015

Siapakah yang 'menyorok' mereka?...

...hanya Allah SWT juga yang Maha Mengetahui.  Pencarian selama lebih sebulan dalam kawasan berdekatan tidak berjaya menemui mereka sedangkan di kawasan itu mereka berada...

Gambar dan catatan dari http://www.hmetro.com.my/node/83757


Oleh Maiamalina Mohamed Amin 

maiamalina@hmetro.com.my


Gua Musang: Dua murid perempuan SK Tohoi, di sini yang hilang 23 Ogos lalu ditemui dalam keadaan lemah di kawasan pencarian di tebing Sungai Mas dekat Pos Tohoi, hari ini.

Mereka dipercayai Mirsudiar Aluj, 11, dan Norieen Yaakob, 10.

Turut ditemui kira-kira 11.30 pagi tadi, mayat seorang kanak-kanak yang belum dikenal pasti identiti.
Difahamkan ketika ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR), kedua-dua mereka hanya terbaring lemah dengan keadaan muka yang cengkung.

Mereka dibawa ke pusat kawalan operasi di Pos Tohoi untuk rawatan awal, sebelum dihantar ke Hospital Gua Musang (HGM) kira-kira 2 petang tadi.

Berikutan itu, operasi SAR masih diteruskan untuk mengesan dua lagi mangsa yang masih hilang. Pada 3.50 petang semalam, tengkorak dan beberapa tulang rusuk ditemui di tebing Sungai Perias, kira-kira 800 meter dari lokasi penemuan mayat kanak-kanak perempuan yang disahkan sebagai Sasa Sobrie, 8.

Mayat Sasa ditemui pada 7 petang kelmarin oleh penduduk kampung yang memaklumkan kepada petugas keselamatan.


Khamis, 8 Oktober 2015

Tolong jangan hanya pandai berhutang...


Ada tak agaknya orang yang mengambil pinjaman dengan menggunakan khidmat penjamin berniat dalam hatinya 'sahaja aku berhutang / mengambil pinjaman ini dengan niat tidak mahu membayar dan biarlah penjamin yang terbeban'?  Mungkin sewaktu menandatangani pinjaman itu, tidak berniat dalam hati begitu, kan?  

Yang penting, kalau pinjaman itu untuk menyambung pengajian, niatnya supaya dapat terus belajar. Kemudian dapat kerja 'yang baik-baik'. Kemudian dapat gaji.  Kemudian dapat membantu keluarga. Kemudian dapat beli kereta.  Kemudian dapat beli rumah.  Kemudian boleh berumahtangga.  Eh... ingatan untuk membayar hutang tu duduk di 'kemudian' yang ke berapa? 

Dulu suamiku pernah dipotong gajinya kerana menjadi penjamin kepada kawannya yang mengambil pinjaman dan berhenti kerja sebaik sahaja mendapat wang pinjamannya.

Kini sekali lagi beliau diganggu oleh pihak Majlis Amanah Rakyat (MARA) gara-gara menjadi penjamin kepada anak kawannya.  Peminjam bukan tidak dapat dikesan.  Malahan bekerja di tempat yang sama dengan suamiku.  Ibubapanya juga diketahui di mana kediaman mereka.  Tapi pihak MARA siap mengugut suamiku.  Tak cukup dengan surat-surat yang tiba bersilih ganti, disusuli pula dengan panggilan demi panggilan telefon.  Jumlah pinjaman yang masih berbaki lebihkurang RM3K sahaja. Tak tahulah apa yang sipeminjam itu fikirkan...

Adakah Akta yang diperkatakan di bawah ini masih digunapakai? 
( Artikel dari : SINI )

Pindaan Akta Kebankrapan lindungi penjamin diburu institusi kewangan

KUALA LUMPUR 2 Jan 2004. - Kerajaan telah menguatkuasakan pindaan Akta Kebankrapan 1967 pada penghujung tahun lalu yang akan memberi perlindungan kepada penjamin diburu oleh institusi kewangan berikutan kegagalan peminjam menyelesaikan pinjamannya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, pindaan undang-undang tersebut adalah terhad kepada penjamin sosial iaitu pinjaman perumahan, kereta, biasiswa dan amaun kecil.
Tambahnya, langkah tersebut bagi memastikan peminjam yang gagal menjelaskan pinjaman mereka, diheret ke mahkamah. ``Seseorang penjamin tidak perlu bimbang selagi peminjam terbabit tidak diheret ke mahkamah kecuali mereka gagal dikesan di alamat rumah dan pejabat atau didapati meninggalkan negara ini, barulah mahkamah mengambil tindakan terhadap penjamin tersebut,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Pada 8 September lalu, Rais berkata, kandungan penuh cadangan pindaan akta tersebut antara lain mensyaratkan institusi kewangan mencari pihak yang meminjam terlebih dahulu dan bukannya menjadikan seseorang penjamin sebagai sasaran.
Tambahnya, perubahan dalam akta tersebut akan dapat mengelakkan situasi di mana peminjam yang gagal membayar balik hutang hidup dalam keadaan senang-lenang sedangkan penjamin pula yang terpaksa berhadapan dengan kesusahan akibat membayar hutang orang lain.
Rais berkata, kerajaan telah menerima banyak rungutan mengenai perkara itu menyebabkan mereka yang tidak bersalah dibicarakan ke mahkamah.
Tambahnya, pindaan akta itu membolehkan si peminjam terlebih dahulu dikenakan tindakan kerana didapati mengelakkan diri daripada menjelaskan pinjaman mereka di institusi kewangan terbabit.
Bagaimanapun menurutnya, pindaan akta tersebut tidak melibatkan pinjaman korporat.
Selain itu, beliau memberitahu, kerajaan juga turut mewujudkan sebuah jabatan baru dikenali sebagai Jabatan Insolvensi yang akan diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri.
Jelasnya, jabatan itu akan diketuai oleh seorang ketua pengarah berperanan meneliti masalah berkaitan kebankrapan supaya dapat diselesaikan secara telus dan lebih berkesan.


Selasa, 6 Oktober 2015

Adakah kita teraniaya?..


...mungkin ya mungkin tidak.  Terpulanglah pada penilaian masing-masing...

Kenapa bangunan roboh?

- sebab binaan tidak kukuh

Sebab apa barang mahal?

- sebab ada yang 'minta disuap'

Sebab apa kita menganga?

- sebab kita tak tahu nak buat apa-apa

Kata kuncinya?

RASUAH  di mana-mana...

Sukurlah masih ada kuih yang boleh dibeli
dengan harga RM1.00 untuk 3 biji walaupun
saiznya lebih kecil dari sebatang kunci kereta.


Dari mana pun ia dipandang
Ia tetap matahari yang sama
Sekuat mana pun  kita temberang
Takkan terlepas dari pengadilan Yang Maha Kuasa

Isnin, 5 Oktober 2015

Tahu tak bagaimana rasanya...

...saat kau tak mampu  hendak membeli seketul roti yang berharga RM0.70, tiba-tiba kau terjumpa RM10.00 di celahan dompet lusuhmu?

Kalau kau tidak tahu bagaimana rasanya perasaanmu saat itu, kau MUNGKIN belum layak untuk menjadi pemimpin yang KONONNYA sentiasa memahami dan menyelami kesusahan rakyat jelata...

Ahad, 4 Oktober 2015

Bila jiran berhati batu...

...pasti mereka juga tiada rasa malu
perasaan tetangga tak mahu dijaga
kerana mereka tahu kita tak boleh berbuat apa-apa...

Kuala Lumpur @ 5.00 petang @ 3/10/2015

Kuala Lumpur @ 5.00 petang @ 3/10/2015

MEX Highway @ 11.15 malam @ 3/10/2015

Jumaat, 2 Oktober 2015

Walaupun aku bukan peniaga, aku memahami keresahan mereka...

...berikutan nilai Ringgit Malaysia yang kian jatuh, harga barangan menjadi semakin tinggi.

Pembeli/pengguna mahukan harga yang rendah sedangkan peniaga juga merupakan pembeli. Sebelum menjual semula mereka juga membayar harga yang sudah tinggi untuk mendapatkan bekalan.  Berniaga mestilah mahukan keuntungan.  Jadi harga harus dinaikkan lagi.  Cuma janganlah melampau-lampau batasan pula, kan?

Eh...pak menteri tahu ke tidak masalah para pembeli? 

Atau pak menteri suka nilai ringgit terus jatuh lagi?  Boleh menarik orang dari luar negeri.   Datang ke mari untuk sama-sama membeli.  Anak negeri pandai-pandailah hendak menjana hidup sendiri...

Dalam masa lima bulan, nilai ringgit menyusut dengan ketara sekali...

Khamis, 1 Oktober 2015

Jom menjamu selera di Restoran Al Aqsa, Ampang...

Restoran ini terletak betul-betul bersebelahan dengan Restoran Me'nate yang popular itu...

Jom semak menu...

Bagiku, harganya agak berpatutan

Kalau 'perut kecil', hidangan unrtuk seorangnya mungkin sukar dihabiskan.


...tapi, harga minuman mungkin sedikit mahal...

Ini alamatnya dan juga nombor telefonnya.
Pekerja di sini bukan orang Melayu (eh...bukan Bangla jua, tapi
berasal dari Timur Tengah) jadi kekeliruan bahasa mungkin terjadi.

Ruang restoran yang luas dan teratur...

...juga bersih, kan?  


Aku suka shawarma itu.  Hanya RM5 tapi cukup untuk 'menyendatkan' perut...