Kawan-kawan kakcik

Selasa, 17 Januari 2017

Kita bukan tinggal di istana...

...yang ada dayang dan biduanda
kita juga bukan orang kaya
yang ada pembantu dua tiga

kita hidup seadanya
yang ada hanya ibu
tapi dia bukan babu
ada juga ayah
tapi bukan untuk diarah-arah

bila makan
pandai-pandailah kemaskan pinggan
meja jangan dibiar bersepah
sampai tak boleh beza dengan tong sampah

bangun tidur
kemaskan bantal selimut
jangan dibiar berkeromot
sekali imbas bagaikan sarang semut

kalau pun tak mahu basuh baju
jangan dikumpul belakang pintu
masukkan dalam mesin yang ternganga itu
takkan semudah itu pun buat tak tahu

selagi ada orang tua
hidup kita penuh selesa
nanti bila mereka tidak lagi berdaya
atau dijemput kembali oleh Yang Esa
kepada siapa pula hendak diarah semua kerja

belajarlah untuk memberi
bukan sekadar menerima dan buat tidak mengerti

sebenarnya tidak ada istilah kurang ajar
melainkan kamu sendiri yang sukar hendak diajar



Isnin, 16 Januari 2017

Makin lesu...

Tahun 2012 aku paling aktif
menulis di blog ini.  Tahun 2014
dan 2015 hanya berbeza satu
bilangan catatan.  Di hari ke 16,
2017 - ini adalah catatanku yang ke 7.

Terima kasih kepada semua yang sudi singgah.  Ambillah yang baik jika ianya berfaedah, jika sebaliknya, tinggalkanlah komen yang menegur kesilapanku.  Mungkin boleh ditambahbaik penulisan sekiranya aku berhasrat untuk terus menulis di sini. Jika sebaliknya, mungkin catatan selepas ini hanyalah puisi-puisi melayan jiwa sendiri...

Khamis, 12 Januari 2017

Lara Aishah - di mana nilai murninya?...

Drama bersiri (sebanyak 100 siri dan siri terakhirnya pada Jumaat 14/01/2017) Lara Aishah adalah diadaptasi dari telenovela Mexico bertajuk La Loba.  Sudah namanya drama adaptasi dari luar negara, maka banyaklah adegan-adegan yang tak sepatutnya kita lihat dan bertentangan dengan budaya serta agama terdapat dalam drama ini.

Antara adegan yang bagiku memang melampau ialah :

1 - Seks bebas.  Datin (lakonan Maria Farida) menggoda pemandunya untuk memuaskan nafsu kerana diabaikan suami. Dato' (lakonan Eizlan Yusuf) pula menjadikan adik iparnya sebagai pemuas nafsu.  Dato' juga menodai kakak iparnya sendiri sewaktu abangnya di luar negara. Itu antaranya saja. Perbuatan r*g*l juga digambarkan secara terang-terangan dan perkataan itu (r*g*l) disebut berulang-ulang.

2 -  Watak-watak jahat memiliki pistol yang seolah-olahnya negara ini tiada undang-undang.  Sesiapa sahaja boleh memiliki pistol.

3 - Pembunuhan dilakukan sewenang-wenangnya bagaikan negara ini tiada pihak berkuasa yang menjalankan tugas.  Watak polis hanya sebagai tempelan sahaja.

4 - Perbuatan jahat seorang bapa/bekas suami dimaafkan begitu sahaja atas dasar simpati dan cinta. Segala kejahatannya seolah-olah tidak ujud.  Sedangkan dalam dunia sebenar sekiranya kejahatan begitu dilakukan memang tidak akan terlepas dari undang-undang.

Selama ini pun sebenarnya drama Melayu memang hampir tiada yang membawa nilai murni yang boleh dijadikan contoh. Kebanyakannya diterbitkan hanya untuk mengejar keuntungan. Yang untung siapa?  Yang diperbodohkan dan dilekakan siapa pula? Dek leka dengan khayalan dan hiburan, kita lupa seketika dengan hal-hal lain.  Sebaik tersedar kerana perut mula lapar, baru kita perasan bahawa didapur tiada apa yang boleh dimakan!

#takfahamtakapa
#hiburanbuatkitalekasedangkanfaedahnyatiada